Sunday, February 13, 2011

Faedah Penarikan Subsidi Gula oleh kerajaan

Tindakan kerajaan untuk menaikkan harga gula di pasaran sebenarnya bertitik-tolak dengan gaya pemakanan rakyat Malaysia yang tidak lagi terkawal. Jumlah rakyat Malaysia yang mengidapi penyakit kronik seperti diabetis melitus atau kencing manis, obesiti atau kegemukan, kardiovaskular atau penyakit jantung dan darah tinggi semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Dengan tindakan kerajaan menarik subsidi gula sekaligus dapat mengurangkan penyakit kronik yang kini semakin popular di kalangan rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, tindakan kerajaan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya.Pada pandangan saya, bagi mereka yang berpendapat sederhana mungkin sedikit sebanyak menjejaskan hasil pendapatan. Ini kerana, dengan penarikan subsidi oleh kerajaan sudah tentulah harga gula di pasaran meningkat.

Sejak kenaikan harga gula di pasaran, ia telah memberi impak kepada saya dari segi penggunaan gula. Jika sebelum ini saya dan keluarga menggunakan lebih 10kg gula seminggu dan kini hanya lima kilogram sahaja. Ibubapa saya adalah penghidap diabetis dan darah tinggi. Kini mereka mempunyai kadar tekanan darah yang baik dan mempunyai tahap gula dalam darah yang semakin rendah setiap kali melakukan pemeriksaan doktor.

Saya juga di antara rakyat Malaysia yang agak tertekan dengan tindakan kerajaan menaikkan harga gula. Ini kerana, kerajaan telah menaikan harga gula sehingga hampir satu ringgit dalam masa setahun.Dalam perkiraan saya, ini adalah tindakan kerajaan yang sangat drastik dan mengakibatkan kehidupan orang yang berpendapatan rendah sukar untuk mendapatkan kuantiti gula yang banyak.

Kesimpulannya, biarlah kita bayar sedikit untuk kenaikkan harga gula berbanding membayar kos peubatan yang beribu ringgit.Wang yang selama ini disalurkan untuk subsidi gula boleh disalurkan kepada orang yang lebih memerlukan sekaligus mengurangkan bajet bagi mengimport ubat-ubatan bagi mengubati penyakit kencing manis,kegemukan,penyakit jantung dan darah tinggi.

Maka, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berterima kasih dengan tindakan kerajaan yang boleh dikatakan bijaksana.Oleh itu, sokonglah kempen-kempen yang berkaitan dengan penggunaan gula bagi menjamin kesihatan diri anda sekeluarga.